Kandungan berbaur kebencian: Wujudkan undang-undang, akta lebih bersasar

Madiha Abdullah
Disember 8, 2022 16:38 MYT
Akta Komunikasi dan Akta Hasutan sedia ada tidak spesifik dan terlalu umum, malah ia juga kurang difahami oleh orang awam. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Memerangi berita palsu dan kandungan berbaur kebencian tidak cukup hanya dengan pembentukan akta dan undang-undang yang baharu.
Sebaliknya, Penyelidik ISIS Malaysia, Harris Zainul berpendapat, pembentukan sebarang akta dan undang-undang perlu diteliti dan diperhalusi bagi membolehkan ia mencapai sasaran yang dimahukan.
"Pertama, kita perlu meningkatkan literasi digital dan maklumat dalam kalangan rakyat. Ini boleh dilakukan melalui online course dan kempen kesedaran serta pendedahan terhadap modul berkaitan.
"Kedua, kerajaan perlu tingkatkan tahap kebebasan media dan paras profesionalisma dalam kalangan media. Ini boleh dilakukan menerusi majlis media yang sudah dibincangkan sejak 2018, supaya industri media boleh kawal selia industri sendiri tanpa campur tangan kerajaan dan politik.
"Selepas semua sudah dilaksanakan, barulah boleh dipertimbangkan undang-undang baharu, jika ada keperluan. Undang-undang itu pula harus spesifik kepada topik yang disasarkan.
"Dengan adanya semua ini kerajaan boleh kawal hate speech dan maklumat palsu tanpa sekat kebebasan bersuara," katanya ketika muncul dalam program Pantau Kerajaan Baharu, pada Khamis.
Ujarnya, Akta Komunikasi dan Akta Hasutan sedia ada tidak spesifik dan terlalu umum dan menyukarkan untuk tindakan diambil, malah ia juga kurang difahami oleh orang awam.
"Topik yang lebih spesifik atau bersasar patut jadi keutamaan kerajaan untuk menangani hate speech, kena ada undang-undang spesifik, jangan longgokkan semua dalam satu undang-undang atau akta yang berbentuk umum," jelasnya.
Tambahnya lagi, penapisan kandungan yang sudah diterbitkan di mana-mana platform media sosial boleh menjadi agak sukar terutama apabila pemilik atau penyedia platform tidak memahami konteks dan sejarah sesebuah negara.
"Merujuk kenyataan Menteri Komunikasi, kerajaan melaporkan 202 kandungan kepada Tiktok namun hanya 123 kandungan yang diambil tindakan.
"Persoalan yang timbul ialah kenapa kerajaan rasa kandungan itu patut diambil tindakan, tetapi Tiktok tidak rasa begitu?
"Bergerak ke hadapan, mungkin boleh diselarikan jenis kandungan yang kita, sebagai orang Malaysia rasa tidak sesuai dalam konteks negara ini, berdasarkan garis panduan platform media sosial," katanya lagi.
Pengguna juga boleh memainkan perana dengan mengenal pasti kandungan yang sengaja dimuat naik atau berbayar, dengan niat mahu mencetuskan provokasi.
"Kalau sebelum ini akaun itu hanya ada kandungan (content) sukan, kesihatan atau kecantikan, tiba-tiba ada kandungan berbaur hasutan atau politik, ada kemungkinan ia kandungan berbayar.
"Apa yang boleh dibuat pemilik atau penyedia platform media sosial ialah mereka harus lebih serius dalam usaha untuk menjelaskan sama ada satu kandungan itu berbayar, kerana pengguna berhak untuk tahu kandungan yang mereka lihat itu organik atau berbayar," jelasnya.
#kandungan berbaur kebencian #platform media sosial
;