Kandang ternakan khinzir di sebelah kolam ikan patin, video lama - DOF

Bernama
November 16, 2023 17:52 MYT
DOF dalam kenyataan hari ini memaklumkan penularan video lama serta berita tidak sahih sedemikian adalah tidak wajar.
PUTRAJAYA: Jabatan Perikanan (DOF) hari ini menjelaskan video kandang ternakan khinzir bersebelahan kolam ternakan ikan patin yang tular di media sosial hingga mengundang kegusaran masyarakat adalah video lama yang sengaja ditularkan pihak tidak bertanggungjawab.
DOF dalam kenyataan hari ini memaklumkan penularan video lama serta berita tidak sahih sedemikian adalah tidak wajar dan menasihatkan pengguna media sosial supaya tidak berkongsi video yang tidak disahkan kebenarannya.
Dalam kenyataan maklum balas berhubung penularan video itu, DOF memaklumkan ikan akuakultur oleh penternak yang berdaftar di bawah jabatan itu adalah halal dan berkualiti, dengan Bahagian Biosekuriti jabatan itu sentiasa mengadakan lawatan serta menjalankan ujian 'porcine' iaitu pemantauan DNA khinzir.
"Ini bagi memastikan hasil ikan dan sumber makanan ternakan di bawah penternak berdaftar dengan DOF adalah terjamin bersih, halal serta menepati piawaian keselamatan makanan negara," menurut kenyataan itu.
Menurut DOF penternak yang berdaftar di bawah DOF juga tertakluk kepada Peraturan Perikanan, Kaedah-Kaedah Perikanan setiap negeri yang menyatakan semua premis akuakultur akan dilesenkan dan aktiviti ternakan mereka dikawal rapi supaya mematuhi piawaian serta garis panduan Amalan Akuakultur Baik.
Pegawai daripada Pejabat Perikanan Negeri (PPN) dan Pejabat Perikanan Daerah (PPD) juga sentiasa mengadakan lawatan ke tapak projek ternakan secara berkala bagi memantau dan memberikan khidmat nasihat teknikal berterusan mengenai kaedah penternakan Amalan Akuakultur Baik kepada penternak, katanya.
Berdasarkan Perangkaan Tahunan Perikanan 2022, menurut DOF pengeluaran ikan patin di Pahang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 10,359.88 tan metrik, diikuti Perak dengan 4,853.70 tan metrik dan Kelantan sebanyak 2,309.15 tan metrik.
Menurut kenyataan itu DOF mengalu-alukan sebarang maklumat dan mengambil perhatian serius terhadap sebarang aduan yang melibatkan kesalahan di bawah peraturan perikanan yang berkuat kuasa, selain akan membuat siasatan terperinci.
Jabatan itu turut mengingatkan sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.
-- BERNAMA
#kolam ternakan #ikan patin #kandang babi #video tular #jabatan perikanan
;