Kanak-kanak yang ditemui kelaparan kini beransur pulih
Astro Awani
Januari 18, 2015 17:21 MYT
Januari 18, 2015 17:21 MYT
Kanak-kanak perempuan yang dikurung dan tidak diberi makan di Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang dilaporkan beransur pulih dan sihat selepas menerima rawatan di hospital.
Berdasarkan pemeriksaan doktor, kanak-kanak terbabit sebelum ini berada dalam keadaan amat lemah dan kurang nutrisi.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata pihak hospital akan memberi rawatan sewajarnya kepada kanak-kanak itu terutama dalam memastikan tahap nutrisinya kembali seimbang.
Pada Khamis, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun diselamatkan polis dan ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan di sebuah rumah yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.
Murid tahun satu itu kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang dipercayai bapa mangsa bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masayrakat Negeri, Dr Zaitol Salleh, berkata kanak-kanak itu berada dalam keadaan trauma berikutan dikurung dan didera.
#dikurung
#Dr Hilmi Yahaya
#Hospital Seberang Jaya
#Kanak-kanak
#kurang nutrisi
#lemah
#makan
#perempuan