Kanak-kanak warga Malaysia mati jatuh dari tingkat enam di Hatyai

Bernama
Disember 19, 2015 21:34 MYT
Pemeriksaan awal oleh doktor mendapati mangsa mengalami patah tulang belakang dan cedera di kepala setelah terhempas dengan kuat.
Seorang kanak-kanak lelaki warga Malaysia meninggal dunia setelah terjatuh dari tingkat enam sebuah hotel di sini awal pagi tadi.
Fam Song Heng, 10, yang berasal dari Melaka dikatakan jatuh dari tingkat enam Hotel Asia Grand di Jalan Chayakul, di sini pada pukul 2.20 pagi.
Dia terjatuh di bahagian belakang hotel yang menempatkan kawasan parker kereta, kata pegawai polis bertugas Kapten Kittitas Numuang.
Beliau berkata polis menyifatkan kejadian itu sebagai satu kemalangan dan ia berkemungkinan berpunca daripada Fam yang berjalan dalam tidur hingga membawa kepada insiden berkenaan.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan tidur bersama nenek dan seorang adik lelakinya di sebuah bilik di tingkat enam manakala ibu bapanya tidur di tingkat tiga.
Mangsa menginap di hotel tersebut bersama enam ahli keluarganya yang bercuti di bandar ini dan dijangka pulang ke Malaysia pagi ini, kata seorang ahli keluarga Fam yang enggan dikenali.
Menurutnya dia hanya tahu mengenai kejadian yang menimpa mangsa setelah dikejutkan dan diberitahu pekerja hotel.
Kittitas berkata pemeriksaan awal oleh doktor mendapati mangsa mengalami patah tulang belakang dan cedera di kepala setelah terhempas dengan kuat.
Siasatan awal tidak menemui kesan deraan di badan mangsa dan mayat dibawa ke Hospital Hatyai untuk bedah siasat.
#Fam Song Heng #Hatyai #hotel #jatuh #Kanak-kanak #Malaysia
;