Kanak-kanak warga asing: Baitul Mahabbah kedua dibuka di Sabah November

Bernama
Oktober 12, 2023 16:10 MYT
Saifuddin Nasution berkata dua lagi premis Baitul Mahabbah turut dalam perancangan untuk dibuka masing-masing satu di Sarawak dan Semenanjung. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Penempatan khas sementara kanak-kanak warga asing seliaan Jabatan Imigresen atau dikenali sebagai Baitul Mahabbah, yang kedua akan dibuka di Sabah pada November ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Baitul Mahabbah adalah insiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan kanak-kanak yang berada di depot Imigresen selamat dan terpelihara, dan bersifat sementara sehingga proses dokumentasi oleh kedutaan negara masing-masing selesai.
Baitul Mahabbah pertama telah dibuka September lepas di Kompleks Kediaman Kakitangan Awam (KKKA) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Nilai, Negeri Sembilan.
Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Inovasi KDN di sini hari ini, Saifuddin Nasution berkata dua lagi premis Baitul Mahabbah turut dalam perancangan untuk dibuka masing-masing satu di Sarawak dan Semenanjung.
"Akan diluncurkan bulan depan (di Sabah) dan dua lagi premis dengan bajet sekitar RM10 juta," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Saifuddin Nasution berkata Jabatan Imigresen telah mengutip lebih RM595 juta levi menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 setakat ini.
Selain itu, katanya seramai 700,000 pendatang asing telah mendaftar menerusi pelan Rekalibrasi 2.0, yang akan berakhir pada 31 Dis depan.
"Tiada pendaftaran pendatang asing akan diterima selepas 31 Dis, namun proses verifikasi permohonan masih diteruskan.
"Bagi majikan yang belum mendaftar pekerja asing tersebut, mereka boleh berbuat demikian dalam tempoh dua bulan ini, selepas itu tiada lagi pendaftaran diterima," katanya.
Pada 10 Jan lepas, kerajaan mengumumkan pelaksanaan semula Program RTK 2.0 dan mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing sebagai langkah memenuhi keperluan tenaga kerja asing bagi lima sektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian, dan perkhidmatan (restoran).
-- BERNAMA
#KDN #jabatan imigresen #Baitul Mahabbah #Saifuddin Nasution
;