Kanak-kanak tidak terkecuali diperdaya scammer - Kajian Google
Hilmi Malik
Februari 23, 2021 13:57 MYT
Februari 23, 2021 13:57 MYT
KUALA LUMPUR : Kanak-kanak dikenal pasti antara golongan yang tidak terkecuali daripada menjadi mangsa jenayah penipuan atau scammer di media sosial pada tahun lalu menurut hasil kajian yang dijalankan pihak Google Malaysia.
Pengurus Pendidikan dan Jangkauan Pengguna Google, Lucian Teo berkata, dapatan itu adalah sesuatu yang amat mengejutkan apabila kajian mendapati 36 peratus ibu bapa di Malaysia melaporkan perkara tersebut berlaku sepanjang tahun lalu.
Kajian tersebut turut memberitahu, perkara itu amat berisiko apabila melihat faktor kanak-kanak yang gemar untuk berkongsi segala maklumat khususnya bersama kenalan mereka di laman sosial.
Perkara itu telah menyebabkan beberapa maklumat peribadi terdedah sekaligus membuka peluang pihak tidak bertanggungjjawab mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.
“Perkara itu termasuk akaun yang digodam serta pendedahan maklumat yang secara berlebihan sebagai contoh nombor kad kredit dan sebagainya.
“Sifat kanak-kanak sememangnya suka untuk kongsikan segala perkara di media sosial bersama kawan-kawan mereka dan ini mengundang risiko,” katanya ketika sesi Google Meet pada Selasa.
Menurutnya lagi, Malaysia antara negara yang berada dalam kedudukan tertinggi dalam kalangan negara Asia yang terbabit dalam kes seumpamanya.
Dalam pada itu, di zaman teknologi yang serba canggih ini, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam memantau aktiviti anak-anak apabila keadaan pandemik COVID-19 memaksa golongan itu menghabiskan lebih banyak masa di internet.
Lebih mencabar, kanak-kanak ketika ini dikatakan mempunyai kemahiran teknologi maklumat (IT) yang jauh lebih tinggi berbanding ibu bapa dan kawalan ibu bapa amat penting bagi memastikan segala aktiviti di laman siber diperhatikan.
#Kanak-kanak
#jenayah
#pandemik
#Malaysia
#Asia
#scam
#laman sosial
#penipuan
#media sosial
#Google
#Lucian Teo