Kanak-kanak tertelan dadah sudah dipindahkan, namun masih lemah

Wanna Abd Rahim
Jun 24, 2022 20:10 MYT
Menurut ibu kepada kanak-kanak itu, anaknya sudah mulai senyum dan menyapa apabila dipanggil namanya. - Gambar fail
KUALA KRAI: Kanak-kanak 4 tahun yang mendapat perhatian umum kerana tertelan dadah jenis Metaphitamine sudah dipindahkan ke Hospital Kuala Krai petang semalam.
Menurut ibu kepada kanak-kanak itu, anaknya sudah mulai senyum dan menyapa apabila dipanggil namanya.
"Kesihatan anak saya bertambah baik, anak dipindahkan ke Hospital Kuala Krai petang semalam, anak dah boleh senyum, boleh buka mata apabila namanya dipanggil," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Jumaat.
"Tapi dia masih minum susu melalui hidung, ada tiub melalui hidung, keadaan dia masih lemah dan tidak mampu bangun berdiri atau duduk.
"Ahli keluarga saya, termasuk datuk dan neneknya tidak dapat datang melawat lagi kerana tiada kenderaan walaupun saya dan anak berada lebih dekat dengan kampung, namun ibu bapa saya tak dapat datang jenguk dan ziarah lagi," tambahnya.
Rohaya mengucapkan syukur dan terima kasih kepada pihak doktor dan Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu yang memberikan rawatan terbaik untuk anaknya serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun yang sentiasa bertanya khabar dan memberikan bantuan kewangan.
BACA: Budak tertelan dadah mulai sedar, kaki mula bergerak dan air mata turut mengalir
BACA: Kanak-kanak tertelan dadah dapat perhatian Istana Kelantan
Pada 19 Jun lepas badan kanak-kanak malang itu mengandungi dadah sintetik selepas dipercayai tertelan dadah dalam satu kejadian di kampung Sri Bintang, Dabong Kuala Krai.
Susulan itu, bapa sepupu mangsa ditahan reman dengan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)A Akta Kanak-Kanak 2001.
Penahanan dibuat selepas suspek membawa mangsa menaiki kereta ke lokasi tertentu dan dalam siasatan pihak polis turut menemui dadah dalam kereta yang dinaiki kanak-kanak tersebut.
#kanak-kanak tertelan dadah #Metaphitamine #Hospital Kuala Krai #dadah sintetik #Akta Kanak-Kanak
;