Kanak-kanak terperangkap dalam mesin basuh dobi layan diri

Shahrul Hassan
Mei 25, 2019 20:24 MYT
Anggota bomba memangku mangsa selepas kanak-kanak itu diselamatkan. - Ihsan JBPM
Seorang kanak-kanak perempuan berumur 9 tahun terperangkap di dalam mesin basuh dobi layan diri di Larkin Perdana di sini, petang tadi.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Mohd Kamil Zulkifli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.38 petang.
Katanya, lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan kanak-kanak itu.
"Sebelum kejadian, mangsa dipercayai bermain bersama rakan yang lain di dalam kedai tersebut. Mangsa sendiri yang masuk ke dalam mesin itu tetapi pintu ditutup oleh rakannya.
"Perkara disedari oleh orang dewasa yang lain apabila mahu menggunakan mesin basuh di kedai tersebut.
"Pasukan Bomba mengeluarkan mangsa dengan menggunakan rescue tool dengan memotong kunci pada penutup mesin basuh tersebut. Pihak bomba mengambil masa lebih kurang tiga minit untuk mengeluarkan mangsa," katanya.
Menurut Mohd Kamil, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Tiada maklumat mangsa yang diperolehi. Mangsa masih dalam trauma dan terus berlari balik ke rumah," tambahnya.
#dobi layan diri #Kanak-kanak #Larkin Perdana #mesin basuh
;