Kanak-kanak terlantar bergantung mesin oksigen
Sinar Harian
Ogos 8, 2021 07:25 MYT
Ogos 8, 2021 07:25 MYT
BAGAN SERAI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun hanya mampu terlantar akibat menghidap cecair dalam otak atau dikenali 'congenital hydrocephalus' dan sawan kronik sejak dilahirkan.
Anak kedua daripada tiga beradik itu, Nur Qaseh Raudah Abdul Rahim, 8, turut mengalami masalah penglihatan selain hanya mampu mendengar suara kedua ibu bapanya.
Ibunya, Nor Bayti Yusof, 41, berkata, anak perempuan tunggalnya itu disahkan menghidap penyakit berkenaan ketika berada dalam kandungan dan kini bergantung sepenuhnya kepada mesin oksigen.
"Sejak dilahirkan, Qaseh tidak boleh bercakap dan melihat melainkan hanya mendengar suara. Respon dia hanya menggenggam tangan dan berkedip mata.
"Dia mudah terkena sawan sehingga tiga kali sehari. Justeru itu, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Taiping menjadi rumah kedua kami untuk Qaseh mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 14, Kampung Tanjung Medan di sini pada Ahad.
Noor Azmi (kiri) bertanya khabar Nor Bayti (kanan) ketika melawat kasih di rumahnya di Kampung Teluk Medan, Bagan Serai.
Menurut Nor Bayti, menjadi rezeki buat Qaseh apabila ada individu sudi meminjamkan mesin oksigen sejak 12 hari lalu.
"Kami bersyukur menerima bantuan tabung oksigen daripada Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
"Qaseh memerlukan oksigen 24 jam termasuk bergerak untuk mendapatkan rawatan di hospital yang boleh dikatakan setiap bulan," katanya.
Katanya, mereka sekeluarga pasrah menerima keadaan Qaseh yang sentiasa berisiko untuk 'pergi' secara tiba-tiba.
"Kami reda segalanya hingga pernah berhadapan hampir kehilangan dia pada 2017 lalu. Doktor pun sudah menjelaskan yang Qaseh tidak mempunyai harapan untuk kembali pulih.
"Disebabkan itu, kami menjaganya dengan penuh kasih sayang. Mendengar dia ketawa umpama mendapat emas tetapi itulah pengubat duka lara kami. Segala beban yang ditanggung terus hilang," katanya.
Tambah Nor Bayti, penjagaan Qaseh memerlukan belanja yang besar dan mereka bergantung sepenuhnya kepada pencen suaminya, Abdul Rahim Samsudin, 48, yang merupakan pesara tentera.
"Suami mula mengambil upah mengerjakan sawah untuk menambah pendapatan keluarga. Dia tiada kerja lain kerana perlu menumpukan sepenuhnya pada Qaseh selain ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Qaseh memerlukan dua susu khas yang diberikan melalui tiub yang dipasang menerusi satu pembedahan 'laparascopic gastronomy' pada 9 Julai lalu, lampin pakai buang dan lain-lain keperluan penjagaan diri," katanya.
Artikel asal di Sinar Harian
#congenital hydrocephalus
#Nur Qaseh Raudah Abdul Rahim
#sawan kronik
#cecair dalam otak
#mesin oksigen
#Hospital Pulau Pinang
#Jabatan Kebajikan Masyarakat