Kanak-kanak tahan sakit 30 minit kepala tersepit celah dinding

Bernama
Oktober 22, 2015 11:15 MYT
Mangsa dikatakan sedang bermain di celah dinding di luar rumahnya dan kemudian gagal mengeluarkan kepalanya. - Gambar Astro AWANI
Seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun terpaksa menahan sakit kira-kira setengah jam apabila kepalanya tersepit di celah dinding rumahnya di Bandar Tasek Kesuma, Semenyih dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi, mangsa Muhammad Izzul Sufi Zulkifli dikatakan sedang bermain di celah dinding di luar rumahnya dan kemudian gagal mengeluarkan kepalanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih, Khairul Anuar Yaacob berkata lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 8.40 pagi.
"Kami terpaksa memecahkan sebahagian dinding bagi mengeluarkan kepala mangsa yang tersepit itu.
"Operasi itu selesai kira-kira pada pukul 9 pagi dan mangsa telah diserahkan kepada ibu bapanya," katanya ketika dihubungi Bernama.
#Bandar Tasek Kesuma #kanak-kanak lelaki #Khairul Anuar Yaacob #Muhammad Izzul Sufi Zulkifli #tersepit