Kanak-kanak Tabika Kemas hasilkan Jalur Gemilang guna kotak sarang telur
Bernama
Ogos 25, 2023 12:40 MYT
Ogos 25, 2023 12:40 MYT
GUA MUSANG: Seramai 25 orang murid Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Sri Seroja, Kampung Bertam Baru, di sini, berjaya menghasilkan replika Jalur Gemilang sepanjang lebih empat meter menggunakan kotak sarang telur terpakai.
Gurut tabika itu Siti Arfah Inche Jaafar, 30, berkata replika berkenaan bertujuan menyemarakkan semangat serta mewujudkan suasana meriah menyambut bulan Kebangsaan tahun ini.
"Penghasilan jalur gemilang secara tidak langsung juga menjadi satu bentuk aktiviti pembelajaran pendidikan awal untuk kanak-kanak di tabika.
"Kesemua murid ini turut mendapat sokongan daripada ibu bapa dan komuniti kampung, justeru replika ini dapat disiapkan kurang dari tempoh dua jam," katanya ketika ditemui pemberita di Tabika Kemas Sri Seroja Bertam Baru, di sini semalam.
Siti Arfah berkata idea untuk membuat Jalur Gemilang daripada kotak sarang telur terpakai ini tercetus kerana ingin memberi kelainan sempena sambutan bulan kebangsaan.
"Berkat kerjasama semua pihak, proses menyempurnakan Jalur Gemilang ini tidak memerlukan masa yang lama dan anak-anak tabika kekal bersemangat sepanjang proses mewarnakan dan menyusun sarang telur," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Tabika Kemas Sri Seroja Naim Sulaiman berkata beliau berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan ibu bapa dan kakitangan tabika tersebut sebagai inisiatif menyemai semangat cintakan tanah air dan patriotisme bermula pada awal usia lagi.
"Kami di sini sebenarnya mempunyai tempat yang bersejarah semasa pemerintahan Komunis dan Jepun, jadi aktiviti sebegini dapat memberi nilai sentimental yang mendalam terhadap generasi lama di Kampung Bertam.
"Kami ada dua buah kubu pertahanan semasa zaman Inggeris dan juga di sini juga adanya sebuah Balai Polis dipercayai paling lama di Kelantan," katanya.
Menurutnya kampung berkenaan juga mempunyai kisah yang termaktub dalam lipatan sejarah peperangan ketika zaman komunis.
"Pada tahun 1943 seorang penggawa, Nik Jaafar Nik Soh telah melarikan diri dari Bandar Gua Musang hingga ke Balai Polis Bertam Baru untuk meminta pertolongan setelah bandar itu diserang komunis," katanya.
-- BERNAMA