SUBANG JAYA: Tiada sebarang unsur jenayah atau penderaan dikesan melibatkan kematian seorang kanak-kanak perempuan sindrom Down warga Filipina pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, polis sebelum itu menerima laporan berkaitan kematian kanak-kanak berumur 11 tahun itu pada jam 10.01 malam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pegawai perubatan yang hadir ke tempat kejadian mengesahkan kematian pada jam 7.51 malam.

"Mayat kanak-kanak terbabit kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk proses bedah siasat.

"Hasil bedah siasat dijalankan terhadap kanak-kanak itu mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau penderaan yang berlaku," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Pada Khamis, seorang wanita membuat laporan berkaitan kematian anak perempuannya di sebuah apartment di sini.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian