Kanak-kanak sembilan tahun kes termuda lahir anak luar nikah
Sinar Harian
Ogos 7, 2023 13:20 MYT
Ogos 7, 2023 13:20 MYT
SHAH ALAM: Negara mencatatkan kes termuda kelahiran anak luar nikah membabitkan kanak-kanak perempuan sembilan tahun selepas menjadi mangsa seksual abang sendiri yang terpengaruh dengan video pornografi.
Pengerusi Yayasan Ikhlas, Profesor Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, usia muda bagi kes yang berlaku tiga tahun lepas di Pulau Pinang itu amat membimbangkan kerana sebelum ini hanya melibatkan remaja berusia 17 dan 18 tahun.
“Jika dulu kes kelahiran anak luar nikah dalam kalangan remaja usia 17 hingga 18 tahun tetapi sekarang berlaku di usia sembilan hingga 13 tahun.
“Di Negeri Sembilan dan Terengganu ada kes kanak-kanak 11 tahun. Ini amat membimbangkan kerana kadar remaja yang terlibat dengan kes kelahiran anak tidak sah taraf meningkat 11 peratus.
“Satu daripada 10 remaja di negara ini pernah melakukan hubungan seks bebas tanpa ikatan perkahwinan,” katanya kepada Sinar Harian sempena pelancaran Modul Pendidikan Seksualiti dan Kesihatan Reproduktif (ReproAlert) di Putrajaya.
Modul yang digubal Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) itu merupakan satu modul pendidikan seksualiti dan kesihatan reproduktif berpandukan Islam bagi menangani masalah seksual dalam kalangan kanak-kanak serta remaja pada masa kini.
Turut berlangsung forum bertajuk Antun Seksual dan Dera: Selamatkah Anak Kita? yang menampilkan Pegawai Perubatan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Siti Nurhayati Adznan; Pensyarah Perubatan dan Pakar Pediatrik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nor Azyati Yusoff; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan; peguam, Fatihah Jamhari sebagai panelis.
Tambah Zainur, kebanyakan pelaku melibatkan remaja lelaki lingkungan usia 13 hingga 16 tahun kerana terdedah dengan media sosial berkaitan hubungan seksual.
Ujarnya, golongan itu mudah mendapatkan video pornografi yang dikongsi rakan sebaya dalam aplikasi WhatsApp atau Telegram.
“Faktor lain adalah kerana cinta, kerelaan sendiri dan konflik keluarga. Ada satu kes yang saya kendalikan, seorang pelajar tingkatan satu dan cemerlang tetapi terlanjur dengan sepupu berumur 14 tahun.
"Kejadian itu terbongkar selepas remaja berkenaan dibawa ke hospital kerana sakit perut tetapi rupa-rupanya sakit hendak melahirkan anak.
"Keluarga orang susah, ibu menjual kuih dan bapa bekerja dua syif. Mereka tiada masa untuk anak menjadi antara punca keterlanjuran itu berlaku," jelasnya.
Justeru, beliau meminta ibu bapa memainkan peranan dengan mengutamakan komunikasi bersama anak seperti meluangkan masa melakukan aktiviti sukan, mendaki atau melancong.
*Artikel asal disiarkan di Sinar Harian