Kanak-kanak seawal 12 tahun terjebak dadah di Kelantan

Astro Awani
Februari 15, 2016 09:19 MYT
Peningkatan penagih dadah di Kelantan disebabkan faktor kemiskinan tegar dan masalah dalam pembelajaran. - Gambar hiasan
Terjebak dengan ketagihan dadah seawal usia 12 tahun, itu kata Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Azizan Ariffin berkenaan statistik terkini gejala dadah di Kelantan.
Bukan itu sahaja, AADK turut mendapati bilangan wanita yang terjebak dengan gejala dadah di Kelantan juga semakin meningkat.
Tambahnya, seramai 55 penagih wanita direkod tahun lepas berbanding 44 orang pada 2014.
"Ini merupakan satu ancaman dan masalah sosial yang serius yang tidak boleh kita biarkan merebak kepada golongan berkenaan," katanya pada majlis perasmian program Jelajah AADK Sempena Hari Anti Dadah Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan oleh Pengerusi Skuad 1Malaysia Negeri Kelantan, Datuk Abdul Aziz Derashid yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Balah, di sini pada Ahad.
Beliau berkata penagih wanita berkenaan kini ditempatkan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), Bachok.
Menurut Azizan, jumlah keseluruhan penagih dadah di Kelantan turut meningkat kepada 3,289 orang tahun lepas berbanding 2,426 orang pada 2014.
"Peningkatan penagih dadah di negeri ini disebabkan faktor kemiskinan tegar dan kebiasaannya mereka menghadapi masalah dalam pembelajaran," katanya.
#agensi anti dadah kebangsaan AADK #gejala dadah dalam kalangan wanita dan kanak-kanak #Kelantan
;