Kanak-kanak perempuan maut tercampak

Sinar Harian
Mac 23, 2024 15:55 MYT
Kemalangan itu membabitkan dua kenderaan iaitu jenis Perodua Bezza dan Toyota Alphard. - Gambar/ Media sosial
NILAI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun lapan bulan maut dipercayai tercampak dari kenderaan dinaikinya selepas terbabit kemalangan di Kilometer 283 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kejadian pada jam 10.15 pagi itu membabitkan dua kenderaan iaitu jenis Perodua Bezza dipandu seorang lelaki bersama empat penumpang dan sebuah kenderaan serbaguna jenis Toyota Alphard dipandu lelaki berusia 24 tahun bersama empat penumpang.
"Hasil siasatan awal di lokasi mendapati, semasa kejadian pemandu Toyota Alphard dari Kuala Lumpur menghala Johor Bharu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pada bahagian belakang kiri Perodua Bezza yang dalam perjalanan dari Kajang ke Melaka.
"Berikutan itu, kereta Bezza berkenaan telah hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ujarnya, akibat kemalangan tersebut, seorang penumpang kereta Perodua Bezza telah tercampak keluar dan mengalami kecederaan parah di kepala.
"Mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
"Kes telah diklasifikasi di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Siasatan lanjut masih diteruskan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Muhammad Farid Danial Azli di talian 012-9122198," katanya.
Sebelum itu, tular di media sosial Facebook, seorang pengguna kenderaan meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian terutamanya papan pemuka kereta untuk menyalurkan maklumat tersebut kepadanya.
"Saya tak boleh nak rungkai macam mana kejadian yang berlaku dalam sekelip mata sedangkan suami saya yang memandu sehabis baik cuba alert (berjaga-jaga) dengan lalu lintas, ajal maut di tangan Tuhan.
"Tapi ikhtiar kami usahakan. Jadi di sini saya meminta baik jasa baik rakan-rakan, sahabat, sesiapa sahaja yang ada terbaca post (hantaran) saya ini.
"Jika ada sebarang bukti, dashcam (kamera papan pemuka) terutamanya, tolong dan tolong hubungi kami untuk bantu kami," tulisnya. - Sinar Harian
#kemalangan maut #kanak-kanak tercampak #PLUS #Abdul Malik Hasim
;