Kanak-kanak perempuan maut dipercayai dibunuh ibu

Aiman Hakeem Awazmin
Julai 15, 2022 07:00 MYT
Seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun ditemui mati di sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Yong Peng pada Khamis. - Foto Astro AWANI
BATU PAHAT: Seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun ditemui maut di sebuah kediaman di Taman Bukit Tropika dekat Yong Peng, Batu Pahat semalam.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam kejadian pada pukul 4.55 petang itu, mangsa dipercayai dijerut oleh ibunya di bahagian leher sehingga maut.
Katanya, mangsa yang merupakan anak sulung daripada enam beradik itu ditemui dengan kesan luka di dahi dan kesan jerutan di bahagian leher.
Manakala ibu mangsa yang berumur 34 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut berikutan terdapat fakta yang bercanggah antara kenyataan saksi-saksi dengan kenyataan suspek.
"Kes ini berlaku apabila emak dia membuat laporan mengatakan anak dia ini 11 tahun menggantung diri. Kita mendapat maklumat dan menghantar pasukan ke tempat kejadian.
"Berdasarkan siasatan daripada pegawai penyiasat kita kenal pasti kematian tersebut ada keraguan daripada apa yang dikatakan emak mangsa," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Yong Peng, Batu Pahat pada Jumaat.
Katanya, mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Nora ismail (HSNI) Batu Pahat untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Menurut Kamarul lagi, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat dan dibenarkan untuk ditahan reman selama tujuh hari sehingga 21 Julai.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.
#Kanak-kanak #maut #dibunuh ibu #Batu Pahat