Kanak-kanak perempuan lemas jatuh parit
Ridzal Abdullah
Disember 12, 2021 20:59 MYT
Disember 12, 2021 20:59 MYT
KINABATANGAN: Seorang kanak-kanak perempuan yang terjatuh ke dalam parit di Kampung Tumanggung, Jeroco, di sini, ditemui lemas, hari ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Putri Arnil, 12, ditemui pada jam 5.40 petang oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari balai Kinabatangan yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Ketua balai berkenaan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.56 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan tiga anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi pencarian terus dijalankan bermula dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa akhirnya berjaya ditemui di dasar parit berkenaan kira-kira 150 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nurul Azlan berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.