Kanak-kanak perempuan empat tahun antara yang maut dalam kebakaran di Kepong

Aizat Sharif
Mac 11, 2014 13:06 MYT
Dua orang termasuk seorang kanak-kanak maut dalam satu kebakaran yang melibatkan sebuah rumah teres di Kepong pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 4.50 pagi di Jalan 21, Taman Ehsan itu, mangsa, Tan Kien Mun, 43 dan anak perempuannya yang berusia empat tahun ditemui meninggal dunia dalam kejadian itu.
Menurut Komander Operasi, Penguasa Bomba Ahmad Kassim berkata bomba menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4.57 pagi dan jentera pertama yang tiba di tempat kejadian sekitar lima minit kemudian.
"24 anggota dan dua pegawai bomba dari Balai Bomba dan Selayang, Jinjang dan Jalan Hang Tuah telah dikerahkan ke tempat kejadian dan apabila kita tiba di tempat kejadian, kita mendapati api sudah marak dan hampir meranapkan rumah tersebut," katanya.
Kebakaran itu juga melibatkan empat buah kereta dan van, namun begitu api berjaya dikawal beberapa minit kemudian.
Mangsa dibawa ke hospital berdekatan untuk bedah siasat.
#Kanak-kanak #kebakaran #kepong #maut #Taman Ehsan
;