Kanak-kanak perempuan dua tahun ditemukan lemas dalam longkang
Bernama
September 20, 2024 15:06 MYT
September 20, 2024 15:06 MYT
ALOR SETAR: Luluh hati seorang datuk apabila melihat cucu perempuan kesayangannya ditemukan lemas di dalam longkang di Lorong Seri, Jalan Langgar dekat sini malam tadi.
Mohd Hamidan Hashim, 38, berkata dia turun ke dalam longkang yang dipenuhi air sebaik cucunya, Nur Aisha Misya Afifah Abdul Fattah, 2, ditemukan dalam keadaan sudah tidak bernyawa.
"Sebelum kejadian, arwah keluar bermain bersama abangnya yang berusia tiga tahun. Selepas itu, mereka pulang ke rumah sebelum dia keluar semula tetapi tiada sesiapa menyedari dia keluar bersendirian.
"Semasa kejadian, longkang memang dipenuhi air berikutan kawasan itu dilanda banjir sehingga tidak nampak longkang, tambahan pula longkang di situ tidak bertutup," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.
Mohd Hamidan berkata sebaik menerima panggilan daripada ibu arwah, Siti Nurfarhana Abdullah, 18, yang memaklumkan cucunya hilang, dia terus bergegas pulang ke rumah dari tempat kerja dan mula mencari arwah sehingga ke Sungai Kedah.
"Sebelum saya pulang, orang kampung tolong carikan dulu di kawasan sekitar tetapi tidak jumpa. Saya pun cari dia lebih dua jam sebelum jasad cucu saya timbul selepas air mulai surut ... awalnya saya ingatkan anak patung tapi selepas menyedari itu cucu saya, saya terus masuk ke dalam longkang dan angkat cucu saya naik ke tepi longkang.
"Saya panggil nama dia 'Ecah' tetapi memang dia sudah tiada kerana mukanya kebiruan dan seluruh badannya mengeras ... semasa angkat arwah, air mata saya tidak berhenti mengalir," katanya.
Mohd Hamidan berkata arwah ialah cucu kedua dan terlalu rapat dengannya serta memanggilnya dengan panggilan 'Abah'.
"Arwah ada menunjukkan sedikit perubahan apabila tidak mahu makan dan berubah menjadi senyap.
"Dia seorang yang sangat ceria tetapi Rabu lepas, dia banyak menyendiri dan tidak mahu bermain dengan abangnya. Abangnya masih tidak faham yang adiknya sudah tiada, dia cuma kata adiknya sedang tidur.
"Jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan, Derga selepas proses bedah siasat selesai," katanya.
Sementara itu, pihak polis belum mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian berkenaan.
-- BERNAMA
#kanak-kanak lemas dalam longkang
#Nur Aisha Misya Afifah Abdul Fattah
#Alor Setar
#Mohd Hamidan Hashim
#terkini