Kanak-kanak perempuan ditemukan rentung dalam kebakaran Lahad Datu
Zulhafiiz Brahim, Fadhil Selihin
April 19, 2022 16:35 MYT
April 19, 2022 16:35 MYT
LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak perempuan ditemukan rentung selepas terperangkap dalam dalam kejadian kebakaran di Kampung Sabah Baru, di sini pagi tadi.
Kebakaran yang melibatkan 11 buah rumah mengorbankan Nur Alisha Putri Abdullah, 2, yang ditemukan rentung selepas dipercayai tidak dapat diselamatkan akibat api yang marak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Samsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.52 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
“Setelah kita buat pemadaman kita dapati terbakar seratus peratus semua rumah dari jenis tidak kekal iaitu daripada struktur kayu.
“Setelah membuat pemadaman kita membuat pencarian lokasi dan hasil daripada maklumat orang ramai didapati terdapat satu orang mangsa yang mana tertunggal dia sebuah rumah yang terbakar.
“Pasukan bomba berjaya mengawal punca kebakaran pada pukul 10.55 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.15 petang,” katanya.
Samosa berkata pasukan bomba masih menjalankan siasatan berhubung punca kebakaran.
Menurut wakil Ketua Kampung, Bakar Julkipli dia menerima panggilan daripada orang kampung sejurus kebakaran terjadi.
"Tidak pasti lagi (puncanya) sebab di situ ada jual bakso, jadi kurang pastilah apa yang terjadi di situ sebab masa itu saya dalam perjalanan ke kampung dari bandar. Dia (penduduk) menelefon daripada kampung, kami terus hubungi 999 dan terus membantu,” katanya.
Sementara itu salah seorang mangsa kebakaran, Jonny Rajiun pula mendapat panggilan dari isterinya memaklumkan mengenai kebakaran ketika sedang berkerja.
Rumahnya terbakar sepenuhnya dan buat sementara ini menumpang di rumah keluarga terdekat.
“Saya bergegas ke sini, berlari naik kereta ke sini untuk mahu menyelamatkan barang apa yang ada dalam rumah itu tetapi sebenarnya tidak dapat, sudah hangus terbakar.
“Buat sementara waktu sekarang ini kami tinggal di rumak kakak ipar. Semua persiapan raya hangus terbakar. Sudah ada, semua lengkap semua tapi gara-gara terbakar sudah habis semua, tiada sudah.
“Yang saya tahu mereka cakap punca dari bilik, karan (arus elektrik), itupun dari rumah sebelah kami,” katanya.
Menurut seorang peniaga, Lidiya Abbang pula, segala persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang turut musnah dijilat api sekelip mata.
“Saya tidak sempat bawa barang-barang, anak-anak sajalah. Janji anak-anak selamat.
“Saya tidak tahu dimana hendak tinggal nanti. Saya fikir-fikir lah sebab saya tidak biasakan tinggal di rumah orang, tidak tahulah macam belum terlintas di fikiran di mana mahu tinggal,” katanya.