Kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas
Sinar Harian
Mei 14, 2022 10:20 MYT
Mei 14, 2022 10:20 MYT
KOTA MARUDU: Seorang kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas ketika menyeberang Sungai Melangkap bersama ibunya dalam kejadian di Kampung Melangkap Darat pada petang Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa berusia 10 tahun dikatakan hilang akibat dibawa arus manakala ibunya sempat menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.04 petang.
Katanya, seramai tiga anggota bomba dikejarkan ke lokasi yang terletak sejauh 35 kilometer dari BBP Kota Marudu.
"Menurut maklumat, kanak-kanak itu hilang ketika menyeberang sungai selepas pulang dari kebun bersama ibunya.
"Ketika menyeberang sungai, tiba-tiba kepala air datang menyebabkan kanak-kanak itu hanyut manakala ibunya berjaya ke tepi sungai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa segera dilakukan namun terpaksa ditangguh berikutan laluan masuk ke rumah mangsa dinaiki air.
"Operasi ditangguh pada jam 7.30 malam kerana anggota bomba terpaksa berjalan kaki ke lokasi kejadian dan ketika itu laluan ke rumah mangsa sudah dinaiki air.
"Operasi disambung semula hari ini (Sabtu) dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.