Kanak-kanak perempuan dihempap pokok tumbang
Norfarhiza Mohd Atar
Januari 19, 2023 23:30 MYT
Januari 19, 2023 23:30 MYT
KUANTAN: Seorang kanak-kanak perempuan cedera dan tidak sedarkan diri selepas dihempap pokok yang tumbang di Kampung Balok Baru di sini petang tadi.
Kejadian tersebut turut menjejaskan empat buah kenderaan awam dan kabel elektrik.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.35 petang sebelum enam anggota bersama seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki sebuah jentera.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian didapati seorang kanak-kanak perempuan dihempap pokok dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Pasukan bomba bertindak memberikan bantuan awal kecemasan kepada kanak-kanak tersebut sebelum mangsa dihantar ke hospital untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Setakat ini, identiti mangsa masih belum dikenal pasti.
Beliau berkata, pihak bomba kemudiannya menunggu tindakan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk hadir ke lokasi kejadian bagi memotong bekalan elektrik.