Kanak-kanak perempuan 12 tahun lemas di tali air

Aida Aziz
November 11, 2020 00:21 MYT
Terdahulu, seorang pemancing di kawasan berhampiran memberitahu melihat semua kanak-kanak itu bermain di tali air itu sekitar jam 5.30 petang.
PARIT BUNTAR: Kegembiraan lapan kanak-kanak bermain di tali air berdekatan Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang dekat sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat, dalam kenyataan, berkata mangsa dikenal pasti sebagai Nur Farah Dania Abd Rahman, 12, dari Tanah Baru, Batas Ban, Bagan Utara.
Katanya, seorang pemancing di kawasan berhampiran memberitahu melihat semua kanak-kanak itu bermain di tali air itu sekitar jam 5.30 petang.
"Dia kemudian ternampak dua kanak-kanak terkapai-kapai di dalam air dan segera membantu, bagaimanapun dia berjaya menyelamatkan seorang sahaja.
"Lelaki itu kemudian memanggil orang kampung untuk sama-sama mencari dan menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 6.30 petang," katanya.
Katanya, mangsa dibawa ke klinik kesihatan Tanjung Piandang dan disahkan meninggal dunia.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.
#lemas #Tali air #Kanak-kanak #perempuan #maut #bermain dengan rakan #pemancing #Kampung Sungai Betul Bawah #Tanjung Piandang
;