Kanak-kanak perempuan 12 tahun dirogol 10 remaja lelaki

Astro Awani
Disember 10, 2020 20:33 MYT
Sejurus selepas itu mangsa telah meminta kawan lelakinya menghantarnya pulang, namun suspek telah membawa mangsa ke rumah rakannya yang lain pula.
KEMAMAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun mendakwa telah dirogol oleh sekumpulan remaja lelaki.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi Isnin lalu, mangsa telah menerima pesanan WhatsApp daripada kenalan lelakinya yang mengajaknya keluar.
Setelah kanak-kanak itu bersetuju, suspek telah pergi ke rumah nenek mangsa di Kijal untuk membawanya keluar sebelum dibawa ke rumah rakannya itu.
Semasa berada di rumah berkenaan, rakan-rakannya itu telah bertindak merogol dan mencabul mangsa.
Sejurus selepas itu mangsa telah meminta kawan lelakinya menghantarnya pulang, namun suspek telah membawa mangsa ke rumah rakannya yang lain pula.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata pihaknya telah berjaya memberkas 10 orang remaja lelaki yang berusia 14 hingga 19 tahun.
Katanya kesemua suspek ditahan di sekitar Kemaman pada jam 4 petang hingga 10 malam Rabu.
Hanyan berkata pihaknya masih memburu beberapa lagi suspek bagi membantu siasatan lanjut.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Jelasnya lagi, kesemua mangsa kini direman sehingga 13 Disember untuk siasatan lanjut.
#rogol #kanak-kanak perempuan #remaja lelaki #WhatsApp #Kemaman #Kijal #Polis Daerah Kemaman
;