Kanak-kanak patah tulang belakang terjatuh puncak bukit setinggi 200 meter

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 11, 2020 23:06 MYT
Bomba menggunakan peralatan khas untuk menyelamatkan mangsa yang terjatuh dari ketinggian 200 meter. - Foto JBPM Negeri Sembilan
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dipercayai patah tulang belakang serta pinggang selepas tergelincir dari puncak Bukit Bal, Seremban 2 dan jatuh ke jurang sedalam 200 meter petang tadi.
Mangsa terdahulu dikatakan mendaki bukit setinggi 230 meter berkenaan bersama keluarganya sebelum kemalangan itu berlaku kira-kira jam 6.08 petang.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohd Syazwan Saidy berkata pasukannya dengan kekuatan 20 anggota menggunakan peralatan khas untuk menyelamatkan kanak-kanak lelaki itu.
"Anggota bomba mengambil masa 45 minit untuk menaikkan mangsa (dari jurang) ke atas sebelum membuat prarawatan di tempat kejadian.
"Pasukan kemudian mengambil masa 45 minit untuk mengusung mangsa sejauh 2.5 kilometer ke ambulans yang menunggu di kaki bukit," katanya.
Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, operasi selesai sepenuhnya sekitar jam 9 malam.
#Jatuh bukit #jatuh gunung #operasi menyelamat #JBPM #Bomba Negeri Sembilan #jatuh Bukit Bal #bukit bal #patah tulang
;