Kanak-kanak parah dilanggar ketika melintas jalan

Sinar Harian
Mei 28, 2021 04:22 MYT
Mangsa (dalam bulatan) parah selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika melintas jalan di Kampung Delek Kanan, Klang pada Rabu. -Foto Sinar Harian
KLANG: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun parah selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika melintas jalan di Jalan Kampung Delek Kanan di sini, pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang, mangsa dilaporkan mengalami pendarahan di limpa dan usus.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Perodua Kembara dipandu wanita berusia 21 tahun dalam perjalanan ke rumahnya di kampung terbabit.
"Tiba-tiba mangsa secara melulu melintas jalan menyebabkan kenderaan dipandu wanita terbabit tidak sempat mengelak lalu melanggar kanak-kanak itu.
"Pemandu itu juga telah menekan brek kecemasan semasa kejadian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri telah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.
"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk tindakan lanjut," katanya.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel asal di Sinar Harian: Kanak-kanak parah dilanggar ketika melintas jalan
#Kanak-kanak #parah dilanggar #melintas jalan #Shamsul Amar Ramli #Jalan Kampung Delek Kanan #Perodua Kembara #Hospital Tengku Ampuan Rahimah #HTAR