Kanak-kanak Orang Asli Kuala Betis dikhuatiri lemas

Bernama
Jun 14, 2024 15:00 MYT
Seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas dalam satu kejadian di Sungai Nenggiri di Kampung Kuala Betis, Gua Musang kira-kira 4.25 petang tadi. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas dalam satu kejadian di Sungai Nenggiri di Kampung Kuala Betis, Gua Musang kira-kira 4.25 petang tadi.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Nor Azizi Che Noh berkata mangsa Syamley Nur Aleh Qarni Sham dipercayai mandi bersama tiga sepupunya di sungai berkenaan sebelum dihanyutkan arus.
"Mangsa menetap di Selangor pulang ke kampung beberapa hari lepas dan mandi bersama beberapa sepupunya di sungai berkenaan yang terletak di belakang rumah.
"Kami dimaklumkan dua sepupunya sempat diselamatkan, namun mangsa gagal diselamatkan selepas dibawa arus sungai," katanya ketika dihubungi hari ini.
Nor Azizi berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 4.25 petang sebelum tiba di lokasi kejadian pada 5.04 petang untuk melakukan operasi menyelamat melibatkan 11 anggota.
Bagaimanapun katanya, usaha mencari dan menyelamat ditangguhkan pada 7.38 malam berikutan cuaca gelap dan arus deras, justeru operasi akan diteruskan esok.
-- BERNAMA
#Kanak-kanak #Orang Asli #dikhuatiri lemas #sungai nenggiri #Kampung Kuala Betis