Kanak-kanak Orang Asli ditemukan lemas
Sinar Harian
Jun 15, 2024 15:10 MYT
Jun 15, 2024 15:10 MYT
GUA MUSANG: Seorang kanak-kanak Orang Asli ditemukan lemas selepas dikhuatiri hilang dihanyutkan arus semasa mandi bersama ahli keluarga di Sungai Nenggiri, Kampung Setawar, Kuala Betis di sini pada Jumaat.
Ringkasan AI
- Kanak-kanak Orang Asli berusia tujuh tahun ditemui lemas selepas dihanyutkan arus semasa mandi di Sungai Nenggiri, Kuala Betis pada Jumaat.
- Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan polis menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sehingga menemui mayat mangsa, Syamely Nur Aleh Qarni Sham pada Sabtu.
- Operasi SAR melibatkan 20 anggota termasuk dari bomba, polis, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan teknik mencari di permukaan air dan anjing pengesan bomba.
Syamely Nur Aleh Qarni Sham yang berusia tujuh tahun ditemukan lemas pada Sabtu sekitar jam 12.05 tengah hari oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan polis yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Nik Fakri Mohd Nawi berkata berkata, mayat mangsa ditemukan pada jarak 1.8 kilometer dari tempat dia dikhuatiri lemas.
"Sejurus ditemukan mayat mangsa dibawa naik ke darat dan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"SAR dimulakan pada jam 8 pagi dengan menggunakan teknik mencari di permukaan air bersama unit PPDA dan unit anjing pengesan bomba (K 9) di kawasan pesisiran sungai," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, seramai 20 anggota termasuk pegawai dari bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah menyertai SAR.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas semasa mandi-manda bersama ahli keluarga di Sungai Nenggiri, Kampung Setawar, Kuala Betis di sini.
Kejadian sekitar jam 4 petang itu berlaku semasa mangsa, Syamely Nur Aleh Qarni Sham bersama dua lagi ahli keluarganya dipercayai lemas namun dua berjaya diselamatkan. - Sinar Harian