Kanak-kanak OKU terperangkap 4 hari dalam rumah bersama mayat ibunya
Siti Nur Aqilla Omar
Oktober 13, 2019 14:33 MYT
Oktober 13, 2019 14:33 MYT
Seorang kanak-kanak kategori orang kurang upaya (OKU) di Taman Impian Emas, di sini, tidak hanya menahan lapar dan dahaga selama empat hari.
Sebaliknya, apa yang memilukan ialah, kanak-kanak berkenaan turut terperangkap dalam rumah bersama mayat ibunya.
Pada awal pagi Ahad, bomba menerima panggilan memaklumkan yang seorang kanak-kanak OKU berusia 12 tahun terperangkap di dalam rumah tersebut.
Menurut Pegawai Bomba Kanan II, Saifulizam Mohd Salleh, sebaik menerima panggilan, sembilan anggota bersama jentera dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru dikejarkan ke lokasi.
"Kejadian dimaklumkan oleh anak mangsa yang datang ke rumah seminggu sekali.
"Ketika ditemui mangsa yang dikenali sebagai Chiong Chan Lin, 63 tahun telah pun meninggal dunia. Manakala anak lelaki OKU berumur 12 tahun dijumpai dalam bilik air dengan keadaan yang lapar dan dahaga.
"Pihak bomba memberikan air minum kepada anak mangsa OKU yang dipercayai sudah empat hari tidak makan," katanya dalam satu kenyataan.
Kes berkenaan kini dirujuk kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.