Kanak-kanak OKU miliki mata biru
Sinar Harian
Februari 19, 2021 09:12 MYT
Februari 19, 2021 09:12 MYT
TEMERLOH: Unik dan jarang ditemui, namun warna biru pada sebelah mata adalah keistimewaan yang dimiliki seorang kanak-kanak pekak dan bisu di Kampung Bukit Kelulut di sini.
Muhammad Hakim Hussien, 4, adalah anak tunggal kepada pasangan orang kurang upaya (OKU), Hussien Amid, 44, dan Siti Hajar Abu, 35, yang juga pekak dan bisu.
Dalam istilah perubatan ia dikenali 'heterochromia' merupakan fenomena yang jarang berlaku iaitu seorang individu mempunyai dua warna mata berbeza, boleh terjadi sejak lahir disebabkan genetik atau kerana kecederaan dan penggunaan ubat-ubatan.
Menurut ibu saudara Siti Hajar, Aminah Jaafar, 58, cucu saudaranya itu memiliki warna biru pada mata sebelah kanan sejak lahir.
"Dalam keluarga kami setakat ini tiada yang pernah memiliki warna mata sebegini dan hanya Muhammad Hakim memiliki keistimewaan tersebut.
"Setakat ini penglihatannya normal. Dia pun seorang kanak-kanak yang ceria dan manja dengan saya kerana setiap petang saya akan menjaganya di rumah atas nasihat doktor atas faktor keselamatan," katanya kepada Sinar Harian.
Kanak-kanak istimewa itu ditemui ketika kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Bukit Kelulut, Abu Kasim Kamat dan Pegawai Pertahanan Daerah Temerloh, Muhammad Ikram Harun di rumah keluarga tersebut pada Khamis.
Rumah pasangan tersebut terjejas akibat ribut yang melanda pada Jumaat lalu.
Aminah yang bekerja di bahagian landskap Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) memberitahu, Siti Hajar adalah anak bongsu daripada enam beradik dan hanya seorang daripada adik-beradiknya normal, selebihnya mengalami pekak dan bisu.
"Siti Hajar telah berkahwin dan menduduki rumah keluarganya sejak 2010. Kini hanya dia bekerja sebagai tukang cuci kontrak dengan pendapatan bersih RM500, manakala suaminya tidak dapat bekerja menjaga anak mereka di rumah.
"Namun, Siti Hajar dan suaminya ada menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," jelasnya.
Sementara itu, Abu Kasim berkata, kerosakan yang dialami rumah pasangan OKU itu akan dibaiki oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) selain dibina tandas baharu.