Kanak-kanak OKU hilang ketika keluar bermain

Salim Aziz
Mei 3, 2019 19:52 MYT
Intan Nur Syiffa Aleya Musliha, dikatakan keluar bermain di kawasan berdekatan rumahnya di Kampung Lela, Baling, Kedah sejak 9 pagi tadi. - Astro AWANI
Seorang kanak-kanak kelainan upaya (OKU) hiperaktif dan bisu berusia 6 tahun dikhuatiri hilang selepas keluar bermain sejak 9 pagi Jumaat.
Mangsa, Intan Nur Syiffa Aleya Musliha, dikatakan keluar bermain di kawasan berdekatan rumahnya di Kampung Lela, Jalan Kuala Pegang, Baling, Kedah namun masih tidak pulang beberapa jam kemudian.
Laporan polis belum dibuat keluarga mangsa kerana tempoh kehilangan belum mencukupi 24 jam.
Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat digerakkan pada 2 petang tadi oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta dibantu masyarakat setempat, selepas menerima makluman awal tentang kehilangan mangsa.
Menurut pegawai APM Daerah Baling, Leftenan Pertahanan Awam Mohd Faizol Ab Aziz, pencarian dilakukan di kawasan kuari pasir lama yang tidak jauh dari rumah mangsa selepas beberapa saksi melihat kanak-kanak itu bermain di kawasan berkenaan.
Setakat jam 7.30 petang tadi, operasi mencari masih dilakukan dan akan diperluaskan hingga ke kawasan bukit berhampiran.
Difahamkan, mangsa memakai baju bewarna pink dan berseluar coklat.
Orang ramai digesa menghubungi balai polis terdekat jika ada terlihat kanak-kanak itu.
#Baling Kedah #budak hilang #Intan Nur Syiffa Aleya Musliha #Jalan Kuala Pegang #Kampung Lela #kanak-kanak hilang
;