Kanak-kanak OKU hilang dikhuatiri lemas ditemui selamat
Petrus Bernard
Julai 10, 2022 22:25 MYT
Julai 10, 2022 22:25 MYT
TAWAU : Seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) berumur tujuh tahun yang dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas di sungai di Kampung Jawa, Lanut di sini, ditemui selamat oleh penduduk pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen Jr berkata kanak-kanak tersebut ditemui pada jam 7.16 malam, di kawasan hutan 100 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Katanya, Muhammad Fakhri Zhafrah Afandi Muhammad Maulidin ditemui sedang menangis dan dalam keadaan lapar serta dahaga selepas tujuh jam dilaporkan hilang, sebelum diserahkan kepada ibunya, Herdawaty Harun, 40.
Ujar Julius, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seterusnya ditamatkan pada jam 7.52 malam.
Terdahulu, kanak-kanak itu datang ke kampung berkenaan pada Ahad bersama ibunya untuk menziarahi saudara sempena Aidiladha, sebelum disedari hilang pada jam 12 tengah hari lalu membuat laporan polis.