Kanak-kanak OKU dipercayai dianiaya di pusat jagaan

Nur Fazlizai Ali
September 14, 2022 20:40 MYT
Kanak-kanak lelaki itu dipercayai dianiaya secara fizikal sejak Julai hingga Ogos lalu. - Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU) berusia lima tahun dipercayai menjadi mangsa penganiayaan kakitangan sebuah pusat jagaan di Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din, berkata kanak-kanak lelaki itu dipercayai dianiaya secara fizikal sejak Julai hingga Ogos lalu.
Katanya, sebelum ini pihak pusat jagaan tersebut telah membuat siasatan dalaman sekali gus membongkar perbuatan suspek wanita yang berusia 34 tahun itu.
"Susulan siasatan berkenaan, kakitangan pusat jagaan itu tampil membuat laporan polis kira-kira jam 3.20 petang semalam.
"Berikutan laporan itu, polis telah menahan kakitangan wanita terbabit di kediamannya sekitar jam 4.30 petang pada hari yang sama," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Beliau berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Abdul Rahim berkata, mangsa telah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan lanjut.
#kanak-kanak OKU #pusat jagaan #Kuala Terengganu #kes dera
;