Kanak-kanak OKU dikhuatiri lemas ketika ziarah saudara sempena Aidiladha

Petrus Bernard
Julai 10, 2022 11:51 MYT
Sehingga petang tadi, mangsa belum ditemui dan operasi SAR masih diteruskan. - Gambar/ JBPM
TAWAU: Seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas selepas hilang di kawasan sungai di Kampung Jawa Lanut, di sini, pada Ahad.
Difahamkan, terdahulu mangsa Muhammad Fakhri Zhafrah Afandi Muhammad Maulidin, mengikut ibunya menziarahi rumah saudara di kawasan itu sempena sambutan Aidiladha.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen JR berkata, mangsa disedari hilang oleh ibunya pada jam 12 tengah hari.
"Usaha mencari mangsa oleh penduduk kampung telah dilakukan namun gagal menemui kanak-kanak itu sebelum mereka menghubungi pihak bomba pada jam 4.20 petang.
"Sebaik menerima maklumat berkaitan kejadian itu, sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi dan menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR)," katanya di sini, pada Ahad.
Sehingga petang tadi, mangsa belum ditemui dan operasi SAR masih diteruskan.
#Aidiladha #lemas #Kanak-kanak #Tawau