Kanak-kanak menderita dua jam, kaki tersangkut di lubang tandas
Ruzaini Zulkepli
April 13, 2020 21:43 MYT
April 13, 2020 21:43 MYT
Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun terpaksa menanggung azab hampir dua jam apabila kakinya tersangkut di lubang tandas.
Dalam kejadian di Pangsapuri Tanjung Aru, Kota Kinabalu, mangsa ditemui oleh ahli keluarganya sebelum menghubungi bomba pada jam 12.52 tengah hari tadi.
Terdahulu, mangsa dikatakan masuk ke tandas berkenaan untuk membuang air kecil.
Penolong Penguasa Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Zon Kota Kinabalu, Zico Mojib berkata, sebaik menerima panggilan daripada ahli keluarga mangsa, sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.
"Seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digegaskan untuk operasi itu.
"Kita mengalami sedikit kesukaran apabila kaki mangsa termasuk di dalam lubang tandas dan tersangkut," katanya.
Mengulas lanjut, pihaknya terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kaki mangsa.
"Operasi itu berjaya ditamatkan pada jam 3.38 petang dan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.
"Mangsa telah menerima rawatan oleh pasukan ERMS kita yang turut berada di lokasi," katanya lagi.