Kanak-kanak maut tertembak senapang patah moyang

Adie Sufian Zulkefli
Disember 13, 2017 18:32 MYT
Puteri Intan Sharini Mohd Hishamudin, 8, maut tertembak senapang patah milik moyangnya di rumah datuk mangsa di Kampung Empa, Mukim Derang, Pokok Sena, Kedah. - FotoBERNAMA
Saya dapat tahu anak saya hanya terkena tembakan dan masih hidup, tetapi apabila tiba di rumah tubuhnya terbujur kaku dan kepalanya berlumuran darah.
Demikian luahan ibu mangsa, Wan Nor Suriati Wan Masri, 26, yang bergegas pulang dari tempat kerja sebaik mengetahui keadaan anaknya, Puteri Intan Sharini Mohd Hishamudin.
“Saya tak percaya berlaku keadaan macam ni. Buat masa ni saya tak boleh terima lagi…tak boleh terima. Dia sudah tiada, saya tak boleh terima,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Ia berlaku kira-kira jam 11 pagi tadi di rumah datuk mangsa di Kampung Empa, Mukim Derang, Pokok Sena, Kedah.
Menurut Wan Nor Suriati, anaknya berusia lapan tahun itu maut dipercayai akibat terkena tembakan daripada senapang patah milik moyangnya.
Katanya lagi, senapang patah itu dipercayai terjatuh dari rak almari dengan serta-merta picunya membidik terkena di bahagian kepala anaknya itu lalu rebah ke lantai.
Sementara itu menurut bapa mangsa, Mohd Hishamudin Azri, 34, ketika kejadian anaknya itu sedang menonton televisyen di ruang tamu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin yang mengesahkan kejadian memaklumkan mangsa maut akibat kecederaan parah pada bahagian kiri muka.
Katanya, polis kini sedang menyiasat bagaimana ia berlaku dan sama ada senapang itu mempunyai permit atau sebaliknya.
Hasil siasatan awal polis mendapati senapang patah itu milik moyang mangsa, Saidin Hamid, 80.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat.
#Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin #Hospital Sultanah Bahiyah #Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar #pokok sena #Puteri Intan Sharini Mohd Hishamudin #senapang patah moyang #Tertembak di kepala
;