Kanak-kanak maut terjatuh dari beranda rumah air di Labuan

Ruzaini Zulkepli
Disember 25, 2019 14:47 MYT
Muhamad Aidan Hakimi Mohd Reduan yang berusia 24 bulan dikatakan tergelincir dari beranda rumah itu sebelum mayatnya ditemukan terapung oleh bapa saudaranya. - Foto Astro AWANI
Malang tidak berbau apabila seorang kanak-kanak berusia dua tahun ditemukan lemas selepas terjatuh dari beranda rumah neneknya di penempatan atas air di Kampung Patau-Patau Satu, Labuan, pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, mangsa, Muhamad Aidan Hakimi Mohd Reduan, dilaporkan terjatuh sebelum mayatnya ditemukan terapung di bawah rumah kediaman berkenaan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Muhamad Farid Ahmad ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa ditinggalkan sementara di rumah neneknya kerana ibu bapa kanak-kanak lelaki itu keluar ke bandar untuk ke bank.
"Mangsa telah dijaga oleh seorang perempuan berumur 20 tahun yang merupakan adik ipar kepada bapa mangsa.
"Adik iparnya tidak sedar bahawa mangsa telah bermain di beranda dan telah terjatuh ke dalam laut.
"Kejadian hanya disedari apabila seorang lagi adik ipar lelaki bapa mangsa yang baru sahaja pulang dari kerja dan telah melihat mangsa terapung di bawah rumah," katanya.
Mengulas lanjut, mangsa kemudiannya cuba diselamatkan dan dikejarkan ke Hospital Nuklues Labuan untuk tindakan lanjut.
"Bagaimanapun doktor telah mengesahkan mangsa telah pun meninggal dunia.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Nukleus Labuan untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#bayi #bermain di beranda #Kampung Patau-Patau1 #Ketua Polis Labuan #Labuan #meninggal dunia #Muhamad Farid Ahmad #terjatuh ke dalam laut
;