Kanak-kanak maut tercampak dari kereta dipandu bapa di Lebuhraya PLUS

Abd Razak Mohd Ali
Mac 12, 2022 10:09 MYT
Beginilah keadaan kereta Nissan Almera yang terbabas di Kilometer 340.2 Lebuhraya Utara Selatan di Tapah pada Sabtu. - Gambar ihsan PDRM
TAPAH: Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas dipercayai tercampak dari kereta dipandu bapanya yang terbabas di Kilometer 340.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini, hari ini.
Mangsa, N. Ashvika, 11, yang cedera parah, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya, N. Yaashika, 6, pula patah kaki dan tangan kiri.
Turut berada di dalam kereta jenis Nissan Almera itu ialah ibu dan seorang lagi adik perempuan mangsa yang berusia 10 tahun.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan berlaku sekitar 1.30 tengah hari ketika kereta yang dipandu bapa mangsa yang juga seorang kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang dalam perjalanan menuju ke Selangor.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta berkenaan telah hilang kawalan dan seterusnya terbabas melanggar besi pembahagi jalan.
“Salah seorang penumpang belakang tercampak keluar melalui cermin belakang kereta dan mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan dari Hospital Tapah.
Bapa, ibu dan adik mangsa yang berusia 10 tahun tidak mengalami kecederaan.
Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat yang dijadualkan selepas keputusan ujian COVID-19 diterima esok.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Kanak-kanak #maut tercampak #Lebuhraya PLUS #Nissan Almera