Kanak-kanak maut jatuh dari tingkat 9 hotel

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 18, 2021 22:09 MYT
Mayat kanak-kanak itu ditemui di tingkat dua hotel berkenaan. - Gambar/ Astro AWANI
GEORGE TOWN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan sebuah hotel di Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Difahamkan, mangsa serta ahli keluarganya dari Sungai Petani, Kedah menginap di hotel berkenaan sejak semalam.
Sumber memaklumkan, sebelum kejadian, kanak-kanak itu dikatakan baru sahaja selesai mandi di kolam renang di tingkat bawah hotel berkenaan bersama ahli keluarganya.
"Selesai mandi, mereka sekeluarga sedang bersiap untuk naik ke bilik hotel semula untuk mengemas barang.
"Bagaimanapun secara tiba-tiba anak bongsu daripada empat beradik itu dikatakan meluru masuk ke dalam lif seorang diri sebelum pintu lif tertutup.
"Ahli keluarga lain yang tidak sempat mengikut mangsa kemudiannya mencari mangsa kira-kira 10 minit sebelum dikejutkan dengan penemuan mayat kanak-kanak itu di tingkat dua hotel berkenaan," katanya.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Tragedi | Kanak-kanak maut jatuh hotel
Difahamkan keluarga itu sepatutnya menghantar anak sulung mereka ke Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Balik Pulau, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya, satu laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat di balai polis Tanjung Tokong pada jam 12.20 tengah hari dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
#kanak-kanak maut #terjatuh #hotel #Tanjung Bungah
;