Kanak-kanak maut, dua parah lori sawit terbabas
Ruzaini Zulkepli
November 11, 2017 22:40 MYT
November 11, 2017 22:40 MYT
Seorang kanak-kanak lelaki warga asing berusia lapan tahun maut manakala ibunya dan seorang lelaki parah selepas lori 10 tan membawa muatan kelapa sawit yang dinaiki mereka terbabas sendiri sebelum terbalik dalam kejadian di Jalan Ulu Maraba, Beaufort, hari ini.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Dias Aprianshah Irwanshah meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan serius di kepala manakala ibunya, Endang Susilawati, 35, dan pemandu lori terbabit parah di seluruh anggota badan dan kini masih mendapatkan rawatan di Hospital Beaufort.
Terdahulu, dua beranak itu dikatakan menaiki lori yang dipandu seorang lelaki tempatan, 39, dan difahamkan dalam perjalanan dari Kampung Ulu Maraba menuju ke kilang sawit berhampiran kawasan Lumadan, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, siasatan awal mendapati sebaik sahaja lori dinaiki ketiga-tiga mangsa tiba di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di jalan.
"Impak kemalangan itu menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki maut di lokasi kejadian manakala ibunya dan juga pemandu lori terlibat turut mengalami kecederaan parah.
"Semua mangsa sudah dibawa ke Hospital Beaufort tindakan lanjut termasuklah mayat kanak-kanak berkenaan," katanya.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal polis, punca kemalangan itu adalah disebabkan kegagalan pemandu lori terbabit mengawal kenderaannya dengan baik sehingga terbabas dan mengakibatkan kematian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#Azmir Abdul Razak
#Beaufort
#Jalan Ulu Maraba
#kanak-kanak maut
#kemalangan maut
#lori sawit
#terbabas