Kanak-kanak maut dilanggar SUV ketika sedang berbasikal depan rumah
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 21, 2021 00:14 MYT
Mac 21, 2021 00:14 MYT
BUTTERWORTH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) ketika sedang berbasikal di hadapan rumahnya di Kampung Tok Sani, Butterworth, pada petang Ahad.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang.
Menurutnya, ketika kejadian, pemandu wanita berusia 32 tahun itu yang sedang memandu kenderaan SUV jenis Toyota Fortuner dikatakan baru sahaja keluar dari rumahnya menuju ke Madrasah Gelugor, Bagan Lalang untuk menziarahi anaknya.
"Ketika membelok ke kiri selepas halaman rumahnya, secara tiba-tiba pemandu terdengar bunyi dentuman lalu memberhentikan kenderaannya," katanya
“Wanita itu mendapati yang dia telah terlanggar seorang kanak-kanak yang sedang menunggang basikal dari arah kiri jalan tar di hadapan halaman rumahnya,” kata Noorzainy dalam kenyataan pada Ahad.
Berikutan itu, pemandu wanita berkenaan segera membawa mangsa ke HSJ untuk mendapatkan rawatan.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.05 petang akibat kecederaan parah pada kepala,” katanya.
Menurut Noorzainy, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#SUV
#kanak-kanak dilanggar SUV
#kenderaan utiliti sukan
#Kampung Tok Sani
#Hospital Seberang Jaya
#Madrasah Gelugur
#Bagan Lalang
#Toyota Fortuner