Kanak-kanak maut dibaham buaya ketika mandi sungai

Bernama
Jun 23, 2024 10:51 MYT
Mayat Mohd Radhi Randi, 9, ditemukan orang kampung pada 3.05 petang, kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa mandi. -Bernama
SANDAKAN: Seorang kanak-kanak lelaki maut dibaham buaya ketika mandi sungai di Kampung Lembaga Batu 8, Jalan Datuk Tay di sini petang ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Severinus Sainkui berkata mayat Mohd Radhi Randi, 9, ditemukan orang kampung pada 3.05 petang, kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa mandi.
"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 12.16 tengah hari berkaitan mangsa dibaham buaya ketika mandi di sungai.
"Susulan itu, sepasukan 11 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan diketuai Pegawai Bomba Kanan II Alan Ayuh bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihak bomba bertindak menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa menggunakan kaedah mencari di permukaan air.
Operasi SAR, katanya turut dibantu anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
-- BERNAMA
#kanak-kanak dibaham buaya #mandi sungai #Kampung Lembaga Batu 8 #Mohd Radhi Randi