Kanak-kanak masalah penglihatan tanam impian jadi guru taranum

Abdul Hadi Che Awang
Mei 16, 2019 15:17 MYT
Muhammad Azwar (tengah) bersama kedua-dua ibu bapanya sewaktu dikunjungi media, mengimpikan kesembuhan dan mahu mengajar taranum. - Astro AWANI
Mendidik dan mengajar masyarakat untuk bertaranum serta memahami isinya, agar mereka lebih dekat dengan kitab suci al-Quran.
Itu antara impian yang diluahkan bekas juara Tilawah al-Quran Negeri Kedah, Muhammad Azwar Muhammad Ariff, 12 tahun, jika dia diberi kesempatan untuk sembuh daripada masalah kurang upaya penglihatan akibat ketumbuhan di kepalanya.
Menurutnya, dia redha dengan keadaannya sekarang seterusnya berharap kehadiran bulan rahmat ini memberi sinar baharu buat dirinya untuk lebih kuat untuk meneruskan kehidupan.
Berkenaan impiannya, Azwar turut menyatakan hasrat untuk membawa ibu bapanya ke Tanah Suci jika berjaya suatu nanti.
"Rasa tenang (sekarang ini). Kemudian saya nak mula belajar baca al-Quran balik, dan lepas tu ajar orang baca Quran, dengan taranum.
“(Jika mata ini) boleh sembuh balik macam dulu, boleh nampak balik, mula-mula sekali nak tengok al-Quran dan ayat-ayat al-Quran. Lepas itu nak baca ayat al-Quran. Kemudian nak tengok muka mak dan ayah, nak tengok muka keluarga, doa untuk sembuhkan mata dan kemudian hapus dosa-dosa,” ujarnya.
Sempena sambutan Hari Guru hari ini, dia tidak dapat menyembunyi rasa rindu kepada sekolah selepas lebih 7 bulan terperap di dalam rumah.
Apa yang paling diingati adalah persembahan tadarus sewaktu Hari Guru di samping menyertai pertandingan tilawah di pelbagai peringkat.
Sementara itu, bagi ibu Azwar, Che Anisah Md Saad, 43 tahun , yang juga seorang guru kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA), amat menyokong impian anaknya untuk menjadi seorang pendidik.
Tambahnya, Azwar sering menceritakan kepadanya perkara yang ingin dilakukan jika diberi kesempatan untuk sembuh.
Antara yang diingini anaknya itu adalah mendalami ilmu taranum serta berbakti kepada kedua-dua ibu bapa.
"Apabila mata dia boleh sembuh balik, dia memang nak tengok dan baca al-Quran, nak belajar taranum. Lepas tu, macam dia kata, nak didik budak-budak nanti bertaranum macam dia.
“Sekarang ini pun, walaupun dia tak boleh baca al-Quran, dia mintak (naskhah) al-Quran daripada kakak untuk dia peluk dan cium,” ujarnya.
Oktober lalu, Azwar disahkan menghidap ketumbuhan di kepala yang menyekat pengaliran air ke tulang belakang dan doktor telah melakukan pembedahan untuk menebuk bahagian itu bagi mengeluarkan air.
Selain pernah menjadi johan tilawah al-Quran daerah Sik dan negeri Kedah, Azwar pernah menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah pada 2018.
#Al-Quran #bekas juara Tilawah al-Quran #guru Al-Quran #Kanak-kanak #Muhammad Azwar Muhammad Ariff #taranum
;