Kanak-kanak mahu ke sekolah terjatuh gara-gara jambatan runtuh di Kampung Miadan, Beluran

Radhi Muslim
Julai 8, 2022 23:58 MYT
Kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 6.30 pagi ketika kanak-kanak itu mahu pergi ke sekolah. - Gambar pengguna Twitter @asmirsaharuddin
BELURAN: Seorang kanak-kanak lengkap berbaju sekolah terjatuh selepas jambatan kayu usang runtuh di Kampung Miadan, dekat Paitan Beluran.
Gambar kanak-kanak itu terjatuh tular di medial sosial selepas dimuat naik seorang pengguna Twitter dengan nama Kumbang @Asmirsaharuddin pada Selasa lalu.
Menurut ciapan di Twitternya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika anak jirannya itu ingin pergi ke sekolah.
“Membahayakan nyawa kanak-kanak. Ada jalan alternatif lain tapi jauh sedikit.
“Isu itu sudah berlaku sejak tahun lalu dan diharapkan jambatan itu dibaik pulih dengan segera,” katanya.
Twit berkenaan menerima pelbagai komen dan dikongsi lebih 5,700 oleh pengguna twitter.
Ciapan itu turut mendapat maklum balas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang telah mengarahkan Pengarah Kementerian Luar Bandar Sabah untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terjaga.
"Saya baru sahaja pulang dari Sabah dan isu penambahbaikan infrastruktur kawasan luar bandar adalah agenda utama kementeriannya," katanya.
Selain itu, Astro AWANI cuba mendapatkan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee mengenai perkara tersebut.
#Kanak-kanak terjatuh #Kampung Miadan #Paitan #Sabah #Jambatan usang #Beluran
;