Kanak-kanak lima tahun meninggal dalam kemalangan di lampu isyarat

Bernama
Julai 28, 2019 21:55 MYT
Rosly berkata, pemandu Audi tidak mengalami sebarang kecederaan sementara pemandu Perodua Alza cedera ringan. - Gambar fail
Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia dalam kemalangan di Jambatan Sri Ehsan di sini semalam dipercayai akibat kesalahan melanggar lampu isyarat.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan dalam kenyataannya hari ini berkata mangsa meninggal dunia pada kira-kira 9 malam Sabtu di Hospital Putrajaya kerana cedera parah di kepala.
"Kakak kepada mangsa yang berusia lapan tahun berada dalam koma kerana turut cedera di kepala dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Putrajaya," katanya.
Jelas Rosly, kemalangan tersebut berlaku pada kira-kira pukul 2 petang di simpang empat lampu isyarat Jambatan Sri Ehsan.
"Kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Audi yang dinaiki oleh seorang lelaki dengan sebuah kenderaan pelbagai guna Perodua Alza yang dinaiki satu keluarga terdiri daripada suami, isteri dan empat orang kanak-kanak berusia antara tiga hingga lapan tahun," katanya.
Jelas Rosly, pemandu Audi tidak mengalami sebarang kecederaan sementara pemandu Perodua Alza cedera ringan.
"Isteri kepada pemandu Perodua Alza patah paha kiri dan retak tulang pinggul sementara anak lelaki mereka yang berusia enam tahun patah kaki kiri," katanya.
Tambah beliau, anak lelaki bongsu pasangan tersebut yang berusia tiga tahun mengalami cedera ringan.
Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, kata Rosly.
-- BERNAMA
#cedera #Jambatan Sri Ehsan #Kanak-kanak #kemalangan #koma #lampu isyarat #meninggal dunia #polis #Putrajaya #Rosly Hassan #siasatan #simpang empat
;