Kanak-kanak lima tahun maut, kereta jatuh gaung
Muhammad Aiman Hakeem
Ogos 30, 2022 22:33 MYT
Ogos 30, 2022 22:33 MYT
SEGAMAT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas kereta dinaikinya bersama empat lagi individu telah terjunam ke dalam gaung sedalam 20 kaki di Jalan Buloh Kasap - Jalan Kuala Paya, di sini, pada Selasa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan Dua, Fuad Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada jam 3.06 petang sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dikerahkan ke lokasi kejadian.
Katanya, mangsa, Rizz Haikal Ereyentoo, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah akibat tersepit di tempat duduk belakang kenderaan Perodua Kancil yang dinaikinya.
Manakala empat mangsa yang lain yang berada dalam kenderaan terbabit telah berjaya keluar dengan sendiri dan dilaporkan dalam keadaan selamat.
"Seramai enam orang anggota dibantu satu jentera jentera LFRT dari BBP Segamat telah dihantar ke tempat kejadian sejurus menerima laporan kemalangan terbabit.
"PKO bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas dan dibawa naik ke tempat yang lebih selamat.
"Bagaimanapun, mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Perubatan dari Klinik Kesihatan Buloh Kasap.
"Seorang wanita berusia 39 tahun bersama tiga lagi kanak-kanak berusia enam tahun yang terlibat dalam kemalangan itu dilaporkan selamat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Menurut Fuad, mangsa yang maut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, operasi menyelamat ditamatkan pada jam lebih kurang 5.29 petang setelah pihaknya memastikan kawasan sekitar berada dalam keadaan selamat.