Kanak-kanak lima tahun maut jatuh dari tingkat 13 di Bayan Lepas
Bernama
Januari 20, 2015 17:41 MYT
Januari 20, 2015 17:41 MYT
Seorang kanak-kanak lelaki lima tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 13 rumahnya di Flat Rajawali 1-Park, Bayan Lepas di sini hari ini.
Muhammad Alif Hamizan Abdul Khalid dipercayai terjatuh dari tingkap dapur rumahnya pada pukul 7.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin berkata hasil siasatan di tempat kejadian, polis mendapati kanak-kanak itu terjatuh melalui jeriji besi yang tidak berkunci.
"Hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu ditinggalkan seorang diri di rumah pada masa kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kanak-kanak itu mengalami kecederaan di muka dan mayatnya dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat.
Sementara itu bapa saudara mangsa, Mohd Razeen Hamzah, 33, berkata pada masa kejadian, nenek kanak-kanak itu menghantar kakaknya yang berusia tujuh tahun ke sekolah berhampiran rumah mereka.
"Kebiasaannya apabila dia (Muhammad Alif) bangun tidur dia akan menonton televisyen tetapi lain pula hari ini apabila dia terus pergi buka tingkap dapur," katanya ketika ditemui di Hospital Balik Pulau.
Mohd Razeen berkata ibu kanak-kanak itu yang bekerja di kilang Osram dan bapanya, seorang pekerja kontrak, keluar bekerja seawal 6.30 pagi.
"Muhammad Alif seorang yang cergas dan petah, dia amat rapat dengan anak perempuan saya yang berusia enam tahun, semalam saya baru bertemu dengannya dan memberinya aiskrim," katanya.
Mayat Muhammad Alif dibawa keluar dari hospital itu pada pukul 1.20 tengah hari dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak di sini.
#Flat Rajawali Park
#Kanak-kanak
#Lai Fah Hin
#maut
#Muhammad Alif Hamizan Abdul Khalid
#terjatuh
#tingkap dapur
#tingkat 13