Kanak-kanak lemas terjatuh dalam tali air ketika memancing
Azee Shafy
Jun 26, 2022 21:46 MYT
Jun 26, 2022 21:46 MYT
KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun lemas selepas terjatuh ke dalam tali air ketika memancing bersama dua rakannya, berhampiran Balai Raya Chengal Lempong, Balok di sini, hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kejadian berlaku sekitar jam 7.19 malam, dan seramai lima anggota dari Balai Bomba Gebeng bergegas ke lokasi kejadian.
"Mangsa dipercayai memancing di tali air itu bersama dua kawannya yang lain namun dikatakan terjatuh lalu lemas.
"Mayat mangsa berjaya ditemukan oleh orang awam di sekitar tali air itu sebelum ketibaan anggota bomba di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan dihantar ke hospital untuk tindakan susulan.