Kanak-kanak lemas mandi di kolam renang dewasa
Afiezy Azaman
Februari 11, 2025 08:40 MYT
Februari 11, 2025 08:40 MYT
Seorang kanak-kanak disahkan meninggal dunia akibat lemas ketika mandi di sebuah kolam renang dewasa di Tasik Residensi, Jalan Putra Prima Utama, Puchong, pada Isnin. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun disahkan meninggal dunia akibat lemas ketika mandi di sebuah kolam renang di Tasik Residensi, Jalan Putra Prima Utama, Puchong, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman, pihak polis menerima laporan daripada Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, pada pukul 2.40 petang, selepas seorang kanak-kanak dihantar dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia sebelum tiba di hospital.
"Difahamkan, kanak-kanak itu yang berasal dari Kampung Beserah, Kuantan, Pahang, sedang bercuti bersama keluarganya di kediaman saudara mereka di Puchong.
“Siasatan mendapati, mangsa bersama ahli keluarga lain sedang mandi di kolam renang sekitar jam 11.30 pagi.
"Tanpa disedari oleh keluarganya, mangsa telah masuk ke kolam renang dewasa dan kemudian ditemukan lemas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Norhizam berkata, bedah siasat yang dijalankan mengesahkan punca kematian sebagai lemas.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum denda RM50,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Selain itu, pihak polis turut membuka satu kertas siasatan kematian mengejut (SDR) berhubung insiden ini.