Kanak-kanak lemas ketika mandi sungai bersama tiga beradik

Sinar Harian
September 2, 2023 15:42 MYT
Lokasi kejadian di Jeram Asli Ulu Benut di Machap Kluang yang meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki lemas, pada petang Jumaat. (Gambar kecil: Ahmad Ehsan)
KLUANG: Keseronokan empat beradik mandi-manda bersama di Jeram Asli, Ulu Benut di sini pada petang Jumaat bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemui lemas.
Dalam kejadian 6.30 petang itu, Ahmad Ehsan Nor Hisyamuddin, 11, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Simpang Renggam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa ke Jeram Asli bersama kakaknya, Nor Najihah Nor Hisyamuddin, 18; abangnya Islah Nor Hisyamuddin,15, dan adiknya Ahmad Fahim Nor Hisyamuddin yang berusia lapan tahun.
Katanya, mengikut laporan pengadu, (kakaknya) bersama tiga lagi adiknya ke jeram tersebut namun kira-kira lima minit selepas itu terdengar suara mangsa menjerit minta pertolongan namun tidak dapat diselamatkan.
"Mangsa ditemui tidak sedarkan diri beberapa minit kemudian dan telah dirujuk ke Klinik Kesihatan Simpang Renggam namun disahkan meninggal dunia dipercayai akibat lemas.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya ketika dihubungi pada Sabtu. -Sinar Harian
#Ahmad Ehsan Nor Hisyamuddin #Jeram Asli Ulu Benut #Klinik Kesihatan Simpang Renggam #Kanak-kanak lemas ketika mandi sungai
;